Sunday, 20 April 2014

Harta Karun Pulau Nangka Milik Kesultanan Islam Melaka



PULAU NANGKA (MELAKA) - Harta karun bernilai berbilion ringgit yang dipercayai tersimpan sejak lebih lima abad lalu di Pulau Nangka, hanya boleh digunakan untuk kebajikan.

Itulah yang diberitahu kepada media oleh syarikat yang dipertanggungjawab melakukan kajian serta mencari bukti bergambar mengenai kewujudan harta karun tersebut.

Pengarah Urusan syarikat terbabit, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said mendakwa, harta tersebut hanya boleh dikeluarkan dengan berbai’ah dan tidak boleh digunakan sesuka hati.

“Saya hendak tekankan perkara ini tidak boleh dibuat main-main dan menerusi pengkajian kami secara teknologi dan spiritual, harta Kesultanan Islam Melayu Melaka memang tidak keluar dari bumi dan perairan Melaka termasuk isi kapal Flor De La Mar,” katanya.

Semalam, wartawan Sinar Harian, antara yang diberi peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki di pulau yang dikatakan pernah berperanan sebagai markas para Wali Allah.

Rombongan tersebut turut disertai Timbalan Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi Pelaburan dan Perindustrian, Hal Ehwal Agama, Warisan, Pembangunan Belia dan Pelancongan, Datuk Norpipah Abdol; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas serta Ketua Jabatan Warisan Negara, Zon Selatan, Johar Kadis.

Tidak seperti kunjungan pertama, kali ini kami diberi peluang menyaksikan sendiri kerja-kerja menebuk lubang pintu di samping menyaksikan kesan peninggalan sejarah yang terdapat di Pulau Nangka.

Menurut Mohammad Foad Khushairy, kehadiran syarikatnya di Pulau Nangka bermula pada Julai 2012 dan kerja-kerja tersebut akan berakhir pada 30 April ini.

Setakat ini, pihaknya begitu yakin akan menemui bukti sebagaimana yang diharapkan mengenai kewujudan harta karun tersebut.

Katanya, kerja-kerja penebukan pintu dinding batu sedang giat dijalankan dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 27 April ini.

"Berdasarkan laporan geoteknikal dengan alat pengimbas bumi, kami yakin memang terdapat harta karun dan barangan artifak di sini. Lantaran itu, kami terpaksa membuat pintu baharu untuk tembus ke bawah.

“Bila kita dapat masuk ke ruang bawah, maka kita akan dapat masuk kesemua bilik yang terdapat di sini,” katanya.
Beliau berkata, menerusi imbasan yang dijalankan terdapat 20 bilik di dalam pulau seluas 20 hektar itu yang pernah dibina di zaman kemuncak Islam Kesultanan Melayu Melaka.


“Kami terpaksa menambah tenaga kerja. Kalau sebelum ini hanya 23 orang tetapi menjelang Isnin ini meningkat kepada 40. Kebanyakan mereka memang pakar dalam melakukan kerja menebuk bongkah batu.

“Kesemua dinding batu terbabit mempunyai ketebalan antara 3.5 hingga lima meter serta mempunyai kedalaman lapan meter dari puncak bukit. Tempat yang kita tebuk semua kita sudah imbas bagi mengenal pasti lorong-lorong yang boleh dimasuki.

“Ada pintu, sudah hampir 50 peratus siap manakala pintu kedua hanya 30 peratus sahaja untuk kita masuk ke dalam. Proses dan kaedah yang dilakukan terpaksa mengambil masa sehingga hampir dua tahun kerana perlu dijalankan pelbagai peringkat dan prosedur,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pun sudah banyak pihak yang berjaya masuk dan menembusi pintu berkenaan tetapi tidak boleh membawa harta itu keluar.

“Apa yang ada di pulau ini memang penjajah terdahulu sudah tahu baik Belanda, Inggeris dan Jepun, mereka cuba ambil tetapi tidak dapat.

“Struktur tembok batu yang dibina ini memang benar-benar kukuh dan kalau di kira sekarang hendak membinanya memang tidak mampu.

“Jadi sebagaimana orang dahulu bersusah payah dan sebagaimana mereka mempertahankan bumi Melaka daripada penjajah, kita hari pun kena macam itu,” katanya.

Selain itu, beberapa simbol unik turut ditemui sepanjang penjelajahan kami di sebahagian pulau berkenaan.

Selain ukiran bulan sabit serta peta Pulau Nangka yang pernah dipaparkan sebelum ini, semalam kami telah menemui beberapa lagi tanda dan simbol antaranya batu berbentuk piramid dan batu berkenaan sama seperti yang terdapat di Pulau Serimbun terletak bersebelahan Pulau Besar.


“Di antara simbol lain yang ditemui adalah ukiran batu seperti orang Islam sedang solat iaitu melakukan duduk antara dua sujud, batu berbentuk ulas nangka.

“Simbol bulan sabit yang ditemui juga tertera kalimah “Muhammad Bin Abdullah” serta “Al-Mahdi”,” dakwanya.

Secara kesimpulannya, selain isu harta karun yang semakin memuncak heboh diperkatakan, Pulau Nangka sebenarnya adalah satu lagi lambang perkembangan syiar Islam di rantau ini dan ia pernah menjadi markas para wali termasuk beberapa Wali Songo.

Para pengkaji benar-benar yakin, harta berkenaan hanya boleh dikeluarkan oleh mereka yang berhak dan tidak boleh digunakan untuk tujuan sembarangan.

Sekiranya ada niat lain, pasti akan menerima musibah. - Sinar Harian

Ucapan Takziah Dari Bapa Altantuya


Berita kematian peguam Karpal Singh telah sampai ke Ulanbataar, Mongolia.

Akhbar berbahasa Mongolia - Zuunii Medee atau Century News - menyiarkan dua muka surat temubual dengan bapa Altantuya, Shaariibuu Setev yang mencurahkan isi hatinya mengenai Karpal dalam satu artikel bertajuk 'Pemimpin DAP Malaysia Karpal Singh maut dalam nahas kereta".
Shaariibuu berkata, beliau mengenali "insan yang terulung itu" yang membantunya dalam perbicaraan dua bekas anggota polis yang disyaki membunuh Altantuya dengan bahan letupan plastik pada Oktober 2006.

Karpal begitu tekun sebagai peguam pemerhati bagi pihak Shaariibuu sejak kes itu bermula pada tahun 2007 dan setia memaklumkan kepadanya perkembangan kes di Malaysia.

Shaariibuu berkata beliau telah menghantar ucapan takziah yang teramat sangat kepada keluarga Karpal di mana mendiang sentiasa bersama mereka ketika beliau dalam masa paling buruk dalam hidupnya.

"Apabila anak saya meninggal dunia lapan tahun lalu di Malaysia... saya tak tahu mana nak tuju," katanya dalam emel kepada Malaysiakini.

"Pada saat itu, Karpal sendiri menemui saya. Beliau merasakan bahawa tidak ada siapa yang boleh membantu kes anak perempuan saya di Malaysia," katanya.

"Beliau bukan sahaja seorang peguambela tetapi juga pembela hak asasi manusia yang terulung di Asia Tenggara, " katanya.


Shaaribuu Setev
Kali terakhir Shaariibuu bertemu dengan Karpal ialah di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 11 April 2012, di mana beliau bergambar dengan peguamnya dan menghadiahkan selimut Mongolia untuk menutup lututnya.

"Selimut ini bagus untuk lutut. Ia akan sentiasa memanas anda," Shaariibuu memberitahu Karpal sambil menepuk lututnya.
Percakapannya itu telah diterjemahkan kepada Karpal oleh pegawai Kementerian Luar Mongolia yang bersama Shaariibuu dalam rangka lawatan tiga hari ke Kuala Lumpur.
Malaysiakini turut hadir semasa lawatan itu.

Shaariibuu bertemu dengan Karpal ketika itu untuk mempercepatkan
saman RM100 juta yang difailkannya pada tahun 2007 terhadap kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan dua pengawal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas penderitaan yang ditanggung oleh keluarganya, termasuk dua anak Altantuya akibat pembunuhan Altantuya.




Shaariibuu menyuarakan kebimbangannya tahun lepas bahawa samannya mungkin tidak lagi sah kerana kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) - Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - yang sebelumnya telah disabitkan dengan pembunuhan anaknya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam - telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos tahun lepas.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 23-25 ​​Jun untuk mendengar rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan kedua-duanya, di mana Karpal sepatutnya hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Shaariibuu.

Peguamnya yang berpejabat di Ulanbataar, Munkhsaruul Mijiddorj berkata Shariibuu memintanya menghantar ucapan takziah kepada keluarga Karpal.

"Ramai rakyat Mongolia sedih dan berdukacita atas kematian beliau," kata Munkhsaruul yang telah menemani Shaariibuu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri perbicaraan pembunuhan Altantuya.
--Dipetik Dari malaysiakini--