Sunday, 4 May 2014

Media Malaysia Masih Terkongkong



Pada 3hb MEI setiap tahun, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu atau PBB telah mengistiharkan HARI KEBEBASAN AKHBAR SEDUNIA .  UNESCO menganugerahkan 'Hadiah Kebebasan Akhbar Sedunia Guillermo Cano' kepada individu, pertubuhan atau institusi yang membuat sumbangan besar dalam mempertahankan atau menggalakkan kebebasan akhbar di seluruh dunia. Bagaimana dengan kebebasan akhbar di negara ini?

Index Kebebasan Akhbar Sedunia untuk tahun 2014 telah meletakkan Malaysia di tangga ke 147 daripada 180 buah negara ! Apa ertinya? Ertinya kebebasan media di Malaysia berada dalam keadaan 'kritikal'. Kebebasan media yang dimaksudkan sebenarnya ialah ketelusan di dalam penerbitan media cetak utama seperti akhbar harian dan juga media elektronik utama seperti tv dan radio. Kenapa Malaysia berada di tangga ke 147? Orang yang waras pun boleh berfikir sendiri. 

Adakah akhbar harian seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia ataupun media elektronik seperti RTM, TV3 dan ASTRO telus di dalam melaporkan sesuatu berita? Jawapannya TIDAK. Kenapa? Pernahkan anda membaca atau melihat atau mendengar berita di media utama mengenai bekas Ketua Menteri dan keluarganya adalah bilionair? Beliau dan keluarga memonopoli perniagaan balak di sebuah negeri.Pernahkah anda dengar jip mewah Hammer yang berharga sekitar RM500,000 telah dipinjamkan kepada anak seorang menteri? Orang yang memberi pinjam kenderaan tersebut pernah didakwa dalam kes rasuah. Adakah anda pernah mendengar suami seorang bekas menteri telah menyalahgunakan dana sebanyak RM250 juta untuk membeli beberapa kondominium termasuk sebuah kondominium di negara jiran? Anak-anak beliau juga merupakan pengarah syarikat dengan gaji lebih daripada RM10,000.Peruntukan tersebut adalah untuk projek pengeluaran daging halal di Malaysia. Jika nak tahu lebih lanjut anda taip dan carilah sendiri di GOOGLE. Ianya tiada di media arus perdana !

-wollahuakalm-
   cucitangga

Kebebasan akhbar terancam bukan sahaja oleh tindakan rejim autoritarian menutup syarikat akhbar dan menahan pemberita, tetapi juga oleh pengamal media yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan menyiarkan pembohongan dan enggan menghormati prinsip hak untuk menjawab.


Kebebasan akhbar adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, “Setiap orang berhak kepada kebebasan pendapat dan menzahirkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan mempertahankan pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.”

Banyak negara dengan kebebasan akhbar tidak hanya menikmati hak asasi manusia, tetapi juga demokrasi yang berfungsi dan kemakmuran ekonomi.
Bukan suatu kebetulan apabila negara yang paling menghormati kebebasan akhbar adalah antara negara yang terkaya dan rakyatnya hidup dengan maruah.
 

Malaysia meraikan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia dengan suram berdasarkan Indeks  Kebebasan Akhbar Dunia 2014 yang diterbitkan oleh Reporters Without Border (RSF), di mana kedudukan Malaysia berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu 147 daripada 180 buah negara.
Kedudukan Malaysia adalah dua anak tangga lebih rendah daripada junta tentera Myanmar. Pada tahun 2014, kedudukan Malaysia lebih buruk daripada Brunei (117), Thailand (130), Indonesia (130), Kemboja (132) dan Myanmar (145).

Laporan Kebebasan Media oleh The Freedom House bagi tahun 2013 juga mengkategorikan Malaysia sebagai “tidak bebas.” Dalam laporan itu, Malaysia juga menerima “downward trend arrow” akibat “penipuan pilihan raya berleluasa dan halangan struktural untuk menghalang pembangkang daripada berkuasa secara sah.”

Jelas sekali ini adalah masalah institusi di mana kerajaan sengaja menjerut kebebasan akhbar untuk mengelakkan sebarang pendedahan berkenaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah melalui undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, Akta Penerbitan & Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi.
Walau bagaimanapun, muslihat lain adalah untuk menghancurkan pembangkang dengan menyiarkan pembohongan tanpa rasa takut akan hukuman ataupun hanya semata-mata enggan memberikan mereka hak untuk menjawab.

Kebebasan akhbar terancam bukan sahaja dengan tindakan rejim autoritarian yang menutup surat khabar dan menahan pemberita, tetapi juga oleh pengamal media yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan menyiarkan pembohongan dan enggan menghormati prinsip hak untuk menjawab.
Tidak mudah untuk berjuang memansuhkan undang-undang zalim sebagaimana sukarnya untuk membetulkan pembohongan dan menegakkan hak untuk menjawab.
Sementara tindakan saman fitnah diperlukan untuk membezakan pembohongan dari fakta, prasyarat kedaulatan undang-undang dan sistem kehakiman yang bebas adalah perlu bagi menghukum mereka yang memperdagangkan kepalsuan dan fitnah. - Lim Guan Eng
Artikel Dipetik dari harakahdaily.net