Wednesday, 30 April 2014

Hari Pekerja Dan Bantahan Terhadap GST



Esok hari Khamis 1hb MEI 2014. Pada 1 hb MEI setiap tahun ianya disambut sebagai Hari Buruh atau Hari Pekerja. Di Malaysia Hari Pekerja telah diisytiharkan sebagai cuti umum. Namun bagi sesetengah pekerja di Malaysia, esok bukanlah hari cuti atau hari untuk menghabiskan masa bersama keluarga di rumah tetapi adalah hari untuk menentang perlaksanaan Goods And Services Tax atau GST yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka. (polis benar himpunan). GST akan dilaksanakan pada 1 APRIL 2015. Cukai ini bakal membebankan rakyat Malaysia. Lihat post saya bertarikh 25 APRIL 201414 APRIL 2014 ,
8 APRIL 2014 dan juga 8 APRIL 2014 (ada dua post mengenai GST pada tarikh yang sama) mengenai
'penindasan' GST yang akan membebankan rakyat Malaysia.
                                     
                                    SELAMAT HARI PEKERJA

-wollahuaklam-
   cucitangga


Sebenarnya, buruh mengalami seribu satu permasalahan yang boleh diperjuangkan untuk mencapai pelbagai matlamat demi kebaikan bersama.

Menjadi fitrah manusia mengkehendaki kehidupan yang lebih baik. Dan kalau bukan kerana tekanan dan asakan demi asakan yang dikenakan oleh majikan dan pemerintah, pekerja berkemungkinan mengenal erti perjuangan untuk mencapai fasa hidup yang lebih baik.

Justeru itu, tidak hairan, hari buruh atau hari pekerja yang kita rayakan sekarang merupakan satu manifestasi dari tindakan kaum pekerja di Australia yang keluar menyatakan tuntutan 8 jam bekerja pada tahun 1856.

Pekerja Australia pada ketika itu sedang ditindas oleh majikan mereka dengan cara jam kerja yang sangat panjang dan upah buruh yang rendah.

Sejak itu, kaum pekerja bersatu untuk merayakan 1 Mei sebagai wadah perjuangan kelas yang disantuni beratus tahun yang dahulu.

Di Malaysia, 1 Mei mula disambut seawal tahun 1972. Terima kasih pada kaum pekerja pada waktu itu yang mula mencernakan bibit-bibit perjuangan mengangkat martabat kaum pekerja agar tidak terus menerus ditindas oleh majikan dan pemerintah.

Khabarnya, 1 Mei pada tahun ini di Malaysia sambutannya akan menjadi berbeza dari tahun tahun yang sudah.


“Gasak sampai tumbang” dan pelbagai lagi slogan yang sama di diuar-uarkan di media alternatif mempromosi dan mengajak rakyat khususnya kaum pekerja untuk berarak dari KLCC menuju Dataran Merdeka.

Tujuan protes ini jelas untuk menyatakan bantahan dari kaum pekerja kepada aplikasi cukai baru GST yang diluluskan di Parlimen.

GST hadir ketika seribu permasalahan pekerja yang lain yang masih tidak selesai. GST hadir sebagai 'kesedaran' buat pekerja di Malaysia yang sebelum ini merayakan 1 Mei dengan menonton televisyen di rumah atau pusat membeli belah.

GST juga satu anugerah kerana kaum pekerja sekarang akan dipaksa membayar satu lagi cukai yang membebankan ketika kos sara hidup semakin tinggi.

'Kerja macam anjing'

Cuba tanya pemandu teksi di sekitar Kuala Lumpur, apa masalah mereka? Bagaimana pula dengan mereka yang bekerja di kilang perindustrian? Saya pasti pekerja di sektor perbankan, pertanian, perladangan malah para pekerja di sektor awam juga mengalami pelbagai masalah yang belum selesai.

Dari masalah jam bekerja, persekitaran kerja tidak demokratik, penindasan majikan terhadap buruh asing, upah tidak setimpal, tiada ruang pembangunan kendiri, isu keselamatan di tempat kerja, kuasa membeli yang semakin hilang, namakan saja yang lain-lain.

Apa masih ada lagi tempat untuk GST menjadi pertambahan dalam senarai yang menyakitkan ini?

Kata seorang pekerja rajin di pejabat:

“Kita kerja macam anjing. Majikan tak habis-habis beri tekanan. Itu, ini semua mesti diselesaikan. Cukup bulan, duit gaji habis bayar hutang. Tiada masa yang berkualiti boleh diperuntukkan untuk diri sendiri apalagi untuk isteri dan anak-anak di rumah.

“Kena datang kerja pada hari Sabtu, hanya ada hari Ahad untuk berehat. Itu pun banyak di habiskan masa untuk tidur.”
Bunyinya sangat kasar, bukan?


Mungkin, saudara yang membaca tulisan ini boleh memberi penjelasan yang kukuh tentang signifikan aplikasi GST. Atau saudara juga boleh berikan satu ratus satu hujah kenapa GST wajib di mansuhkan.

Saya tetap dengan jawapan yang satu.

Pekerja atau buruh di Malaysia mengalami seribu penderitaan yang masih belum disembuhkan. Mengapa harus ditambah lagi penderitaan?

Jika diperhatikan, saban tahun, laporan audit melaporkan pelbagai ketirisan, keborosan dan pelbagai kelemahan dalam mengurus tadbir perbelanjaan.


Saya sendiri letih dengan laporan-laporan ini. Kebobrokan yang dilaporkan itu jelas bukan datang dari tangan kita.

Eksperimen kerja 6 jam

Perlakuan sumbang dalam isu pemborosan ini datangnya dari sektor/kementerian kerajaan. Jadi mengapa kita yang perlu menanggung setiap tindakan pemerintah dengan mengenakan GST pada masa yang terdekat ini?

Mari kita alihkan pandangan kita pada kaum pekerja di Perancis dan Sweden. Dalam berita baru-baru ini, kaum pekerja di sana sedang mempraktis dan dalam masa sama bereksperimen dengan jam masa kerja yang lebih pendek iaitu 6 jam sehari.

Wah, tahun 1856 dahulu, kaum buruh di Australia menuntut 8 jam bekerja, kini pada tahun 2014, Perancis dan Sweden sudah mula bekerja 6 jam sehari saja! Tak bankrapkah negara?

Apa mereka di sana adalah bangsa yang malas bekerja? Atau, syarikat syarikat di sana sudah bersedia untuk gulung tikar?

Bila diteliti balik langkah baru ini, sedarlah kita bahawasanya, kurangnya masa bekerja memberi ruang untuk kaum pekerja lebih fokus dan progresif pada waktu bekerja yang diperuntukkan.

Masa 6 jam yang ditetapkan adalah masa yang sudah sempurna untuk pekerja menghabiskan kerja-kerja harian mereka sebelum mereka tutup monitor komputer untuk memberi laluan pada perkembangan diri sendiri.

Selari dengan itu, mereka di sana punya kualiti masa yang lebih untuk bersama famili. Juga dinyatakan dengan jelas dalam langkah mereka bekerja 6 jam sehari adalah untuk mengelakkan tekanan di tempat kerja yang melampau dan mempengaruhi kehidupan individu.

Bagaimana di Malaysia agaknya?

Majikan berbangga menguar-uarkan bahawa pejabat adalah rumah kedua pekerja dan pekerja terpaksa tunduk untuk menyelesaikan setiap kerja lebih masa yang ada kalanya tiada berbayar.
Jika permasalahan seperti ini pun kita sudah terlepas pandang, apalagi jika kita bicara impak GST terhadap kewangan kita?

Biar saya ceritakan pengalaman saya baru baru-baru ini di sebuah pasar raya. Di suatu sudut menjual susu bayi, saya terkejut kerana raknya dikunci rapat. Pembeli susu bayi mesti mendapatkan pekerja pasar raya untuk membuka kunci rak tersebut dan mengambil susu yang mahu di beli.

Di rak itu juga, ada banyak gambar yang menayangkan 'aksi' pencuri susu bayi ini. Di tulis besar besar di situ: " Pencuri, awas anda diperhatikan".





Curi susu

Melihat gambar itu, saya teringatkan satu kes mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 2 atau 3 tahun kepada seorang lelaki yang mencuri satu tin susu yang berharga lebih kurang RM60 untuk diberikan pada anak kecilnya di rumah.

Saya merasa begitu terganggu dengan keadaan begini.

Mencuri memang satu kesalahan. Tapi mahukah si lelaki tadi mencuri jika dia bukan dalam kesempitan hidup?

Susu itu bukan untuk dirinya, tetapi untuk anaknya yang kecil. Dan lelaki itu saya pasti seorang pekerja yang sedang 'nazak' kewangannya. Dia tiada rekod jenayah sebelum ini.

Keadaan sosio ekonomi pekerja di Malaysia sudah meruncing. Pendapatan sebanyak RM3,000 di Kuala Lumpur dan bandar besar di Malaysia sudah di kategorikan sebagai miskin bandar, apatah lagi jika ia lebih rendah.

Ramai di kalangan kita tidak jemu jemu untuk mengambil pinjaman peribadi untuk meneruskan survival dan secara langsung, pekerja di Malaysia sudah menjadi hamba.

Nyanyi Ito, penyanyi Blues kegemaran ramai: “Kerja bagai nak gila,orang lain yang kaya.”

Berbalik pada protes 1 Mei, kaum pekerja yang bersemangat untuk hadir, janganlah semata-mata kerana mahu memenangkan parti politik masing masing. Tiada seorang anak muda yang akan ke Putrajaya pun dengan hadir pada protes 1 Mei nanti.

Biar kita hadir bersama ilmu dan ideologi, bukan berpaksikan matlamat untuk menangkan parti politik, jauh sekali untuk mengangkat Anwar Ibrahim atau Hadi Awang menjadi perdana menteri.

Masih ingat siri demo Black 505 yang berakhir di Dataran Merbok? Boleh beritahu saya sama ada pemerintah peduli atau tertekan dengan ceramah ceramah yang tidak sudah diselang seli dengan tempikan yang 'lame' sambil hadirin sedap memenuhkan perut dengan nasi beriyani, cendol dan minuman yang dijual sekitar kawasan itu.

Tak cukup dengan itu, mereka berpeluang untuk membeli belah baju-baju yang bermotifkan politik. Suasana sebegitu tak ubah seperti suasana di Uptown. Cuma bezanya tiada karaoke.

Kita sendiri harus jelas dengan matlamat asal, yakni memberi tekanan pada pemerintah yang tugasnya bukan lagi memberi kemaslahatan pada negara.

'Protes nasi beriyani'

Kita tidak sepatutnya tunduk pada pemerintah bilamana mereka menyatakan bahawa himpunan kita menutup periuk nasi peniaga. Kita juga tak perlu membuktikan pada mereka yang perhimpunan kita ini aman semata-mata adanya gerai menjual nasi beriyani!

Kalau begitulah amalan demonstrasi kita, saya pasti pendukung revolusi Bolshelvik dan revolusi di Tunisia menangis hiba. Dan semestinya pemerintah kita tersenyum sahaja kerana tiada apa-apa perlu ditakutkan.

Tak perlu saya imbas bagaimana siri protes BERSIH memberi tekanan yang besar pada pemerintah. Jadi saya nasihati kaum pekerja untuk turun merayakan protes dengan amalan sebaiknya, bukan hanya melepak di tepian sudut.

Untuk yang pekerja yang bakal bergasak sampai tumbang, kesedaran itu wajib hadir dulu dalam benak masing-masing. Ia disusuli dengan ilmu dan ideologi sebagai senjata untuk bertempur.

Medan demonstrasi hanya sebagai pengantara untuk menyalurkan tekanan pada pemerintah. Benar, GST sudah diluluskan di parlimen. Tetapi yang meluluskannya hanya seratus orang lebih sahaja. Manakala yang di luar parlimen ini, suaranya jutaan. Mana yang lebih kuat?

Lupakan laungan laungan seperti " Najib Altantuya, Rosmah Gemuk" dan sebagainya, kerana itu hanyalah cara melawan budak kecil yang tak memberi apa apa kesan. Pekerja yang merdeka, bermaruah dan tinggi ilmu dan kesedarannya lebih baik cara melawannya.

Izinkan saya nyatakan petikan kata Karl Marx:

“Sistem Kapitalisme tidak mungkin dan tidak akan jatuh dalam masa yang terdekat, tetapi yang membuatkan sang kapitalis kecut perut adalah bila mana sang buruh memiliki kesedaran yang tinggi dan melawan bersama ideologi.

“Saat itu, kapitalisme sudah bertemu dengan hari hari keruntuhannya."

Saya nyatakan juga petikan kata manusia terhebat wujud di dunia ini, junjungan terbesar umat, Nabi Muhammad SAW:

"Jihad yang paling afdal ialah berkata benar di hadapan pemimpin yang jahat." - Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

Selamat berprotes kaum pekerja! Jumpa di Dataran.
Dipetik Dari malaysiakini

Harta Karun : Zakat Jangan Dilupa



Harta Karun di dalam Islam dipanggil harta Kunuz dan Ar-Rikaz. Erti harta karun ialah barangan lama dan bernilai di pasaran seperti perhiasan dari emas contohnya gelang dan rantai, matawang contohnya seperti matawang emas dan perak, jongkong seperti jongkong emas atau perak, senjata seperti keris atau pedang, tembikar atau pinggan mangkuk yang digunakan pada zaman dahulu.. 
     Wujudkah harta karun di dunia ini? Harta karun sememangnya wujud. Dalam Islam ada lima harta yang wajib dizakatkan iaitu:
(1) Emas dan Perak
(2) Barang Perniagaan
(3) Binatang Ternakan
(4) Tanaman (berupa biji-bijian dan buah-buahan)
(5) Ar-Rikaz (iaitu harta yang terpendam atau harta karun)
  
* Harta karun pula terbahagi kepada dua kategori iaitu:
*(1) Kunuz bermaksud harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).
*(2) Rikaz iaitu harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah).
   (*sumber dari Lembaga Zakat Selangor)
    
    Zakat harta karun ialah sebanyak satu per lima atau 20% dari jumlah keseluruhan harta karun yang ditemui. Ini bersandarkan kepada Hadis berikut:

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: " .. dan pada rikaz (diwajibkan zakatnya) satu perlima. "(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Di dalam Al-Quran Surah Al Baqarah ayat 267 pula bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” 
  
    Dalam keghairahan mengejar atau memburu harta karun di Malaysia khususnya sekarang di Pulau Nangka  di Melaka jika berjaya, zakat jangan dilupa. Zakat dari harta karun ini perlu digunakan pada kebaikan umat Islam di seluruh Nusantara.

-wollahuakalam-
    cucitangga

Tuesday, 29 April 2014

MH370 : Lagi Dakwaan Malaysia Rahsiakan Sesuatu

Kehilangan pesawat MAS MH370 yang sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing China pada 8 Mac 2014 yang lalu terus menjadi misteri. Soladiriti Anak Muda Malaysia telah mendesak Datuk Seri Najib supaya memberikan penjelasan mengenai data kargo dan penumpang yang telah dipadamkan. Lihat post saya bertarikh 22 APRIL 2014 dan 6 APRIL 2014.
Terbaru dakwaan Clive Irving dalam The Daily Beast yang mempertikaikan kenapa Malaysia menghantar laporan awal kehilangan MH370 terus kepada agensi ICAO tanpa mendedahkan kepada orang awam.
Apakah yang sebenarnya berlaku kepada MH370?

-wollahuaklam-
     cucitanga


Lima hari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan kepada CNN bahawa laporan awal mengenai kehilangan MH370 dihantar kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), pakar penerbangan mempersoalkan mengapa laporan itu tidak diberikan kepada pihak awam.
Ketika dunia terus menunggu sebarang bukti tentang pesawat Malaysia yang hilang itu, Malaysian mengambil pendekatan yang mengejutkan, iaitu menyerahkan laporan kepada agensi di bawah PBB itu, kata Clive Irving semalam dalam The Daily Beast.
“Bukan amalan biasa laporan penyiasatan kemalangan untuk terus ke ICAO. Ia menjadi tanggungjawab agensi penyiasat negara berkenaan untuk mengeluarkan laporan itu kepada awam di mana perlu, sebagaimana amalan biasa bagi membayangkan penyiasatan itu bebas daripada kongkongan politik atau industri,” kata Irving dalam laman berita itu.
Lebih daripada 50 hari berlalu sejak MH370 lenyap pada 8 Mac dan pencarian yang diketuai Australi di Lautan Hindi di mana Boeing 777-200ER  itu dijangkakan terhempas tidak menimbulkan apa-apa hasil.
Reuters melaporkan semalam bahawa kemungkinan untuk menjumpai serpihan terapung daripada MH370 tampak mustahil, dan fasa baru untuk pencarian akan fokus kepada kawasan yang lebih besar di dasar laut Lautan Hindi.
Serpihan Pesawat Air France 447 Ditemui Di Lautan Atlantik
Irving berkata misteri paling besar dalam sejarah penerbangan belum menemui penjelasan walau dengan pencarian multinasional di kawasan terpencil Lautan Hindi, dan ini menimbulkan dua persoalan:
Adakah sumber yang mencukupi digunakan untuk pencarian dasar laut?
Adakah realistik untuk terus pencarian apabila musim sejuk hemisfera selatan sudah bermula dan keadaan hanya boleh lebih teruk daripada kini?
Satu-satunya cara munasabah untuk menjawab persoalan tersebut adalah dengan membandingkannya dengan pencarian penerbangan Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.
Apa yang paling menarik tentang pencarian Air France 447 adalah ia “bukan satu usaha yang berterusan atau terbuka”, katanya.
“Ia dijalankan dalam jangka masa lebih kurang dua tahun dalam empat operasi yang berasingan.”
Kotak hitamnya, serpihan dan mayat dijumpai dua tahun kemudian dalam operasi keempatnya.
Serpihan Dari Pesawat Air France 447. Serpihan MH370 bila?
“Jelas bahawa pencarian untuk bangkat Air France Airbus A330 dirancang dengan teliti, sistematik dan mempunyai sumber yang mencukupi, dengan setiap operasi dijadualkan untuk musim di Atlantik Selatan yang tidak bahaya.” kata Irving. Dalam kes MH370, tidak terdapat jumpaan awal bangkai pesawat itu.
Namun, katanya, “Pencarian di Atlantik menunjukkan tiada gunanya menggunakan alatan menyelam yang canggih sehingga kawasan pencarian dapat diperkecilkan lagi. Pada masa itulah teknologi yang digunakan boleh memberikan kesan – mulanya lokasi serpihan kemudian penemuannya.”
Kes Air France 447 memberi penanda antarabangsa bagi integriti penyiasatan hempasan pesawat, kata Irving, kerana keterbukaan dan komitmennya untuk memberitahu pihak awam apa yang dijumpai para penyiasat.
Laporan akhir yang dikeluarkan pada Julai 2012 disifatkan sebagai, “deskriptif, preskriptif dan menjadi teladan dalam penjelasannya”.
Irving berkata Malaysia sepatutnya mengikuti langkah Perancis dan mengeluarkan laporan sendiri daripada menghantarkan laporan kepada ICAO di Montreal, lapor The Malaysian Insider.

Monday, 28 April 2014

Obama Dan Lawatannya



Kedatangan Presiden USA Barack Obama ke Malaysia bermula dari 26 April dan berakhir hari ini 28 April, nampaknya begitu mengujakan media arus perdana. Cerita yang 'sedap' didengar dan 'indah' dapat dilihat di media dan tv mengenai Obama ketika melawat Malaysia.
   

Bermula dari Obama turun dari Air Force One, melawat DYMM Yang Di Pertuan Agong, menziarahi Masjid Negara, bertemu Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, berucap dan menjawap soalan 'mudah' di Universiti Malaya, (rujuk di sini) diberitakan makan sambal belacan dan ada yang kata budu, ikan patin, udang galah dan naik semula ke Air Force One untuk meninggalkan Malaysia jam 10.30 pagi tadi menuju ke Filipina (semoga penerbangannya tidak berakhir di Lautan Hindi) mendapat liputan meluas media di Malaysia. Beberapa acara siap dengan 'live" di beberapa saluran tv contohnya ketibaan Obama di Pengkalan Tentera Udara Di Raja Malaysia di Subang.

Kalau tidak kerana beberapa mahasiswa di Universiti Malaya mengangkat sepanduk anti PTTA dan menyokong perjuangan Ikhwanul Muslimin Mesir dan Presiden Mohammed Morsi yang digulingkan di Mesir (lihat post saya semalam) lawatan ini pasti membanggakan pemimpin negara. Satu hal yang dilupakan oleh NGO di Malaysia ialah membakar bendera USA dan Israel sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Intifadah rakyat Palestin seperti yang kerap di lakukan di negara Islam yang lain. Apapun kerana kawalan keselamatan serta pemantauan yang ketat dari pihak berkuasa di negara ini dilihat punca NGO ini tidak melakukannya.



Sesuai dengan adat melayu, sifat menghormati tetamu juga masih menebal di kalangan pemimpin negara. Menghormati tetamu tidak kira siapa walaupun tetamu itu adalah 'pembunuh' umat Islam di serata dunia ! Teguran Imam Besar Masjid Negara kepada Obama supaya menghentikan penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia, amatlah membanggakan pejuang Islam di Malaysia seluruhnya dan di dunia amnya. Jika nak mengharapkan pemimpin kerajaan menegur Obama, mungkin tak jadi calonlah dalam pilihanraya umum yang akan datang !
Adakah Datuk Seri Najib dan Obama ada membincangkan mengenai TPPA? Jika ada mungkinkah Obama menjanjikan sesuatu yang 'manis' mengenai TPPA? Adakah Datuk Seri Najib pula hanya menganggukkan kepala tanda setuju?

-wollahuaklam-
   cucitangga


KUALA LUMPUR: Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad merayu Presiden Amerika Syarikat Barack Obama supaya menghentikan penindasan terhadap masyarakat Islam di seluruh dunia.

Beliau mengambil peluang untuk menyuarakan hasratnya kepada Obama semasa mengiringi Presiden Amerika Syarikat itu dalam lawatan ke Masjid Negara dan Makam Pahlawan di Jalan Perdana di sini pagi semalam.
Obama dalam jawapannya kepada permintaan itu berkata "doakan saya," kata Ismail kepada pemberita selepas lawatan Obama ke kedua-dua monumen terkenal itu di sini.
Beliau berkata Obama juga berkata bahawa setiap hari apabila bangun dari tidur, beliau sentiasa berusaha untuk menghentikan penindasan dan konflik membabitkan masyarakat.
Ismail, 70, juga melahirkan keterujaannya tentang pertemuan bersejarah dengan Obama, iaitu yang kedua bagi beliau dengan seorang presiden Amerika Syarikat yang memegang tampuk kuasa.
Pertemuan pertama ialah dengan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966, kira-kira 48 tahun lalu apabila beliau baru berusia 22 tahun dan menjadi pelajar tahfiz.
"Saya tidak menyangka bahawa saya akan menemui seorang lagi Presiden Amerika Syarikat dalam hidup saya selepas hampir 50 tahun," kata beliau.
Ismail juga kagum dengan kebolehan Obama untuk memahami bahasa Malaysia apabila beliau kadang-kadang bertutur dalam bahasa itu dengan Presiden Amerika Syarikat.
Di sebalik perbendaharaan kata yang terbatas, Obama kerap kali menjawab "Insya-Allah" dan "Terima Kasih," katanya.
"Memang baik baginya walaupun beliau tidak boleh banyak bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi beliau memahami apa saya memberitahu kepada beliau," kata Ismail sambil tersenyum.
Lawatan Obama ke Masjid Negara merupakan aturcara pertama pada hari kedua lawatannya ke Malaysia dan lawatan ke masjid berkenaan menandakan penerimaan beliau kepada amalan kesederhanaan dalam Islam di negara ini yang majoriti penduduknya yang berjumlah 30 juta beragama Islam.
Obama, yang tiba kelmarin untuk lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia, diiringi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selaku Menteri Pengiring dan Duta Khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Kerjasama Islam, Rashad Hussain.
Selepas lawatan Obama, Ismail mengadakan pertemuan singkat dengan Rashad yang menyentuh tentang perbankan Islam, program pembangunan usahawan Muslim dan hab halal.
Ismail berkata Rashad melahirkan rasa kagum Amerika Syarikat terhadap sistem perbankan Islam yang dilaksanakan di negara ini dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya. - Bernama

Sunday, 27 April 2014

Tahniah Mahasiswa UM.




Beberapa mahasiswa di Universiti Malaya telah menunjukkan keberanian dalam
membantah isu TPPA. Saya percaya mereka akan dikenakan tindakan mengikut
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana kepimpinan negara hari ini mahu
mahasiswa menjadi pak turut sahaja.
-wollahuaklam-
   cucitangga


KUALA LUMPUR : Sekumpulan siswa mengambil peluang untuk menyuarakan bantahan ke atas Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) semasa acara presiden AS Barack Obama di Universiti Malaya hari ini.
Kumpulan 10 orang siswa tersebut mempamerkan poster membantah TPPA dan juga poster membantah penggulingan kerajaan Mesir ketika Obama sedang menyampaikan ucapannya.

Obama bagaimanapun tidak terancam dengan bantahan tersebut, malah merujuk kepada tindakan siswa berkenaan dalam ucapannya sebagai contoh untuk menjelaskan mengenai tindakan yang perlu ditolak ansur.

"Sebagai contoh ada orang berkata 'tidak' di sebelah sana. Saya tidak tahu apa yang mereka bantah.

“Tetapi saya rasa idea asas bahawa sesorang itu tidak sama seperti anda – jika mereka nampak berbeza dengan anda, jika mereka ada kepercayaan berbeza dari anda – bahawa anda melayan mereka sama seperti bagaimana anda mahu mereka melayan anda,” katanya.

Jurucakap kumpulan berkenaan ketika ditemui selepas program tersebut, Adam Fistival Wilfrid berkata beliau berharap dapat menggunakan sesi soal jawab itu untuk meminta Obama menyatakan pendirian berhubung hukuman mati ke atas 529 anggota Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Kumpulan berkenaan dihukum mati kerana didakwa terlibat dengan demonstrasi     ganas.
Dipetik dari malaysiakini

Saturday, 26 April 2014

Terima Kasih PAKAR

Allahhuakbar ! Allahuakbar ! Allahuakbar !
      
     Akhirnya umat Islam di Malaysia menemui jalan penyelesaian terhadap perlaksanaan 
Hukuman Hudud. Kesediaan Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Muslim Malaysia (PAKAR) membantu kerajaan negeri atau kerajaan pusat dalam perlaksanaan Hudud ini amatlah dihargai. 
      Semalam Persatuan Perubatan Malaysia (MAA) melalui Presidennya Dr NKS Tharmaselan berkata memotong anggota badan seseorang, walaupun penjenayah, bertentangan dengan amalan dan etika perubatan. Ini tidaklah memeranjatkan kerana beliau bukannya orang Islam. Sudah tentu beliau menentang dan tak akan memberikan kerjasama. Beliau juga berkata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tidak memperakui sebat terhadap penjenayah walaupun 
hakikatnya di Malaysia hukuman rotan dikenakan. Tak tahu pulak saya hukuman sebat dan
rotan ini berbeza.
Presiden MAA

                                            Doktor tolak keras pakar bedah bantu hudud

   Apa yang pasti Presiden PAKAR,  Prof Mohd Hasmizi Yunus telah menasihatkan rakan
rakan dari pertubuhan bukan Islam agar tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing.
 Terima Kasih PAKAR tapi saya masih tertunggu-tunggu pendapat dari wakil-wakil UMNO berhubung kenyataan Prof Mohd Hasmizi Yunus ini.

-wollahuaklam-
   cucitangga


KUALA LUMPUR: Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Muslim Malaysia (Pakar) menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada mana-mana kerajaan negeri atau pusat berhubung perlaksanaan hukum hudud.

Presidennya, Prof Mohd Hasmizi Yunus berkata, pihaknya bersedia memberi bantuan  khususnya dari sudut kaedah atau teknikal terbaik bagi membantu memastikan perlaksanaan hukuman itu berjalan lancar.

"Pakar adalah sebuah NGO Islam, dengan ini memberikan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan kanun jenayah syariah II yang telah diluluskan pada tahun 1993.

"Pakar akan bersedia memberi nasihat teknikal jika perlu bagi memastikan perlaksanaan hukum tersebut lancar dan boleh memberi pencegahan kepada masyarakat umum," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam aspek perlaksanaan hukuman potong tangan pencuri yang telah sabit kesalahannya, Pakar kata beliau boleh bekerjasama memastikan bahawa hukum itu dijalankan sebaik mungkin dengan kepakaran yang ada. 

Ia bertujuan untuk membantu menjaga hikmah disebalik hukuman dan tidak menyiksa pesalah, kata beliau.

Sebagai memenuhi tuntutan mentaati ajaran Islam, Pakar juga katanya akan meneliti cadangan mendapatkan bantuan doktor bedah untuk memberikan garis panduan yang selamat di dalam melaksanakan hukuman ini, agar ianya tidak bercanggah dengan etika dan profesionalisma kedoktoran serta selari dengan perlembagaan negara. 

"Pakar menyedari bahawa tugas utama doktor selaku perawat kesihatan adalah memberi rawatan secara profesional kepada semua pesakit tanpa mengira warna kulit, agama atau status peribadi mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyeru orang bukan Islam agar tidak bimbang kerana undang-undang syariah Islam ini hanya dikenakan ke atas orang Islam, manaka bukan Islam diberi pilihan tanpa paksaan.

Mereka juga menyeru rakan-rakan daripada organisasi bukan Islam agar tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing sesuai dengan kehendak perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam perkara 3 dan 4.
Dipetik dari harakahdaily.net

Bukankah Tan Sri Annuar Musa sudah tahu kerajaan pusat akan menghalang Hudud? Ikhlas atau wayang?

Friday, 25 April 2014

GST : Rakyat Perlu Fikir Sebelum Menyokongnya


 

  Ramai yang membantah GST. Ramai juga yang menyokong GST. Kebanyakan kumpulan yang
membantah adalah pro pembangkang manakala yang menyokong pula adalah pro kerajaan BN.
Saya pula macamana? Saya tetap membantah GST kerana sebab utamanya akan berlaku kenaikan harga barangan. Ingat! Harga barangan akan naik tetapi gaji atau pendapatan tak naik!

   Kenapa kumpulan pro BN menyokong? Ini disebabkan mereka tak faham maksud dan kesan 
sebenar jika GST dilaksanakan. Atau mungkinkah mereka mempunyai kepentingan di dalam parti parti komponen BN? Golongan ini akan bermati-matian mempertahankan GST atau dalam bahasa yang lebih mudah, mereka menyokong kenaikan harga barangan. Iklan yang 'indah' di kaca tv mengenai GST antara faktor mereka menyokong GST secara membuta tuli.
   
   Nak lihat sejauh mana 'kesetiaan' kumpulan penyokong GST?

    
 Kita buat dua kumpulan. Kumpulan A terdiri dari mereka yang tak dikenakan GST oleh kerajaan.. Kumpulan B pula terdiri dari mereka yang ikhlas dan bersedia untuk dikenakan GST.

   Agak-agaknya berapa ramai orang dalam kumpulan A? PENUH BEB !!! Kumpulan B pulak?
   KOSONG BEB !!!

-wollahuaklam-
  cucitangga



Ibu saya pernah bercerita tentang harga makanan pada zamannya – 60-an dan 70-an. Kuih 5 sen sebiji. Air minuman 5 sen segelas. Mi atau nasi lemak 10 sen sepinggan.

Perkara ini diceritakan kepada saya semasa saya masih di bangku sekolah rendah sekitar awal 1990-an. Pada awal 1990-an itu, harga kuih boleh diperoleh 10 sen sebiji, air minuman di kantin sekolah 10 sen segelas, sepinggan mi atau nasi lemak 20 sen.

Malah, saya sempat dengan zaman harga roti canai 30 sen sekeping.

Pada waktu artikel ini ditulis, harga kuih-muih sudah mencecah satu ringgit bagi tiga atau dua biji. Air minuman di kantin 50 sen segelas. Untuk mendapat sepinggan mi atau nasi lemak berharga satu ringgit cukup susah. Harga roti canai baru naik awal tahun ini daripada 80 sen kepada 90 sen sekeping selepas kerajaan persekutuan menaikkan harga gula.

Sementara itu, pendapatan pula tidak banyak berubah. Seingat saya, gaji bulanan ayah saya yang bekerja sebagai peneroka Felda adalah sekitar RM1000 pada tahun 90-an dahulu. Sekarang – 20 tahun kemudian – masih di sekitar itu.

Harga getah tidak juga naik-naik, sekitar RM 2.00 sekilogram. Gaji kerja kilang kekal tidak melebihi RM1000 sebulan.

Benar, inflasi terjadi. Sejak Amerika Syarikat meninggalkan sistem wang dicetak bersandarkan simpanan emas lalu mencetak duit sesedap rasa, ekonomi dunia terus cenderung kepada inflasi tahun demi tahun.

Namun persoalannya, peningkatan harga barangan (inflasi) tidak seiring dengan peningkatan pendapatan.

Dalam halnya di Malaysia, inflasi memecut dengan kepantasan yang menakjubkan beberapa tahun kebelakangan ini sejak kerajaan persekutuan dengan rakus menarik subsidi minyak, elektrik, gula dan sebagainya secara berkala. Tahun demi tahun, taraf pendapatan pula kekal statik tidak naik-naik sepertimana naiknya harga barang keperluan harian.

Dan kini, kerajaan yang menarik segala subsidi rakyat itu mahu memperkenalkan pula GST (Goods and Services Tax – Cukai Barangan dan Perkhidmatan).

Cukai sebegini sebenarnya bukan baru. Jika kita membeli makanan di KFC, McDonald atau Pizza Hut, kita boleh melihat di dalam resit caj perkhidmatan 6% ditambah ke atas harga asal. 

Cuma bezanya, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas barangan yang disenaraikan sahaja, seperti KFC, McDonald atau Pizza Hut. Barangan yang tidak disenaraikan tidak dicukai.

GST pula adalah sebaliknya. GST dikenakan ke atas semua barangan kecuali yang disenaraikan sahaja. Ini bermakna, semua barangan mesti dicukai melainkan kerajaan kata barang ini atau itu tidak perlu dicukai.

Barangan yang setakat ini diuar-uarkan termasuk dalam senarai tidak dicukai oleh GST termasuklah barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, rempah, ikan masin, ikan bilis dan juga perkhidmatan kerajaan, kesihatan, pendidikan serta pengangkutan awam.

Tidak dinyatakan pula sama ada peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan beras dan minyak masak seperti baja, racun rumpai, mesin memproses dan lain-lain akan dikenakan GST atau tidak. Tidak dinyatakan sama ada caj syarikat pengangkutan yang mengedarkan barang-barang keperluan asas ini hingga sampai di kedai atau pasar raya akan dikenakan GST atau tidak.

MP Pakatan Membantah Perlaksanaan GST di Dewan
Rakyat Baru-Baru Ini
Tidak dinyatakan sama ada peralatan untuk membaiki dan menyelenggara pengangkutan awam akan dikenakan GST atau tidak. Tidak dinyatakan sama ada segala bahan mentah dan keperluan yang digunakan dalam proses dari awal sampai akhir untuk menghasilkan ubat-ubatan atau bahan pendidikan akan dicukai GST atau tidak.

Hendak atau tidak, harga barang-barang ini tetap akan naik akhirnya.

Dan barang-barang yang bukan keperluan asas seperti simen, batu-bata, pasir dan atap yang digunakan untuk membina rumah pastinya akan dicukai GST. Harga rumah pada masa hadapan akan melambung, ditambah pula dengan cukai GST ke atas syarikat yang membuat rumah. Selamat saya ucapkan kepada pasangan kekasih yang asyik berjiwang sekarang ini dan tidak mempedulikan isu semasa, nanti selepas kahwin baru anda akan tahu hidup tidak selamanya indah, terutama ketika mahu membeli rumah.

Oh, dan ada kerajaan kata top-up telefon bimbit dan tarif elektrik tidak akan dikenakan GST?

Semua ini dilakukan oleh sebuah kerajaan persekutuan yang sebelum pilihan raya umum lalu memberi jaminan GST tidak akan dilaksanakan. Jadi apa jaminan bahawa barangan yang dikecualikan daripada GST sekarang tidak akan dikeluarkan dari senarainya pada masa hadapan?

Lebih teruk, GST diperkenalkan pada waktu ketirisan, penyelewengan dan pembaziran begitu berleluasa dalam pentadbiran kerajaan. Ke mana semua hasil kutipan cukai itu akan pergi?

Nanti apabila anak-anak saya sudah besar sedikit, bolehkah saya ceritakan kepada mereka: “Pada zaman ayah dulu, harga kuih hanya 10 sen sebiji. Pada zaman nenekmu dulu, harga kuih hanya 5 sen sebiji.” – pada waktu harga kuih-muih pada zaman itu nanti mungkin mencapai RM 1.00 sebiji?

GST ialah cukai yang zalim. Ia mengambil daripada si miskin untuk memperkayakan golongan-golongan kaya di dalam kerajaan. Ia akan menaikkan harga hampir semua barangan di sekeliling kita. Sudahlah subsidi ditarik, kini mereka mahu menambah cukai pula. Ia menjadikan orang susah semakin susah, orang fakir semakin fakir, orang berhutang terus terhutang.

Oleh itu marilah sama-sama kita lawan GST. Tingkatkan kesedaran diri dan masyarakat terhadap GST. Fahami GST, dan tolak GST. Kita bukan minta ia ditangguhkan; kita minta ia dimansuhkan terus.
Artikel oleh IRFAN ES. 
Dipetik dari harakahdaily.net