Friday, 30 May 2014

Kenali Isyarat 'Dashboard' Kereta

Asyik fikir hal politik dan ekonomi, sesekali kita fikirkan hal yang penting juga iaitu isyarat yang ditunjukkan melalui lampu di dashboard kereta. Saya pun bukannya pandai bab mekanik tetapi kalau setakat nak tukar minyak hitam, tukar bateri, tukar tayar atau tukar mentol lampu insyaalah tak ada masalah. Tidak terfikirkah para menteri untuk membuka Bengkel Kereta 1Malaysia?


-wollahuaklam-

   cucitangga



lampu indikasi - arenakereta 8

Makna lampu amaran/indikasi di dashboard/ instrument panel anda

Banyak lampu ada pada kereta anda, tetapi sesetengah lampu apabila menyala, mungkin mendatangkan perasaan seram sejuk. Mengapa ia menyala, dan apa maksudnya? Mari kita lihat satu persatu.

Lampu Indikator “Check Engine” menyala.

lampu indikasi - arenakereta 7
Setiap kereta baru sekarang datang dengan OBD -II – (On Board Diagnostics 2). Ini adalah satu permasalahan sistem pendaftaran yang disambungkan kepada sensor seluruh kereta , enjin, bahan api dan sistem pelepasan. Apabila lampu “cek enjin” menyala , ia boleh disebabkan oleh  banyak perkara. Terdapat lebih kurang 4,000 kod unik yang OBD2  boleh disimpan. Alat diagnostik (Handheld) OBD2 boleh dipasang ke port OBD2 yang biasanya berada di bawah dashboard di sebelah pemandu. Alat ini boleh membaca kod kesalahan dan / atau menetapkan semula sistem (reset) supaya permasalahan tadi dibuang daripada sistem. Kod dibahagikan kepada dua kategori – tidak aktif, dan aktif. Kod tidak aktif (historical) adalah senarai perkara-perkara yang telah dikesan pada masa lalu tetapi tidak lagi menjadi isu, manakala Kod aktif adalah perkara-perkara yang menjadi masalah pada masa tersebut. Kod dibahagikan kepada B -kod (badan) , C- kod ( casis ) dan senarai yang terbesar sekali – P- kod ( powertrain ).
P0440 kod OBD –II merupakan kod yang paling biasa anda akan temui dan ia adalah perkara pertama yang anda perlu periksa . P0440 adalah kod untuk Sistem Kawalan Penyejatan Pelepasan. Sesuatu yang anda boleh periksa ialah penutup minyak anda ( petrol cap) . Kebanyakan kereta baru mempunyai sistem bahan api bertekanan dan pemulihan wap gelung. Jika anda telah mengisi petrol dan tidak memutar penutup minyak sehingga satu bunyi klik kedengaran, anda dikira masih belum melengkapkan (seal) sistem bahan api bagi sistem OBD2. Ia tidak akan memberi tekanan dan sistem OBD2 akan log kod P0440 di dalam sistemnya.. Dalam kereta Honda , sebagai contoh , jika kod P0440 adalah dilog oleh sistem, indikasi ” CHECK GAS CAP ” akan dipaparkan pada odometer . Jadi, jika anda mendapati lampu indikasi “Check Engine” menyala, periksa dahulu penutup minyak (pertrol/gas cap) dan lihat jika lampu padam.
Sekiranya masih menyala walaupun selepas menutup penutup minyak dengan betul, anda mungkin terpaksa mencari seseorang yang mempunyai alat diagnostik OBD2 .

Indikator “Service Engine / Maint Reqd / Service” menyala .

lampu indikasi - arenakereta 1
Bergantung kepada jenema kereta, ada sesetengahnya tertulis Service Engine, Maint Reqd dan sesetengah pula hanya tertulis Service. Ia merupakan satu petunjuk bahawa anda semakin dekat dengan selang penyelenggaraan yang dijadualkan. Pada sesetengah kereta ia semudah mengira kilometer sebelum tiba masanya , manakala pada sesetengah kereta ia memetakan suhu enjin , suhu minyak, suhu udara dan petunjuk lain untuk memberitahu anda sudah tiba masanya untuk menukar minyak baru atau servis. Dalam kebanyakan kereta ini boleh diatasi atau menetapkan semula (reset) oleh pemilik sendiri.
Biasanya lampu indikator ini akan menyala apabila anda menghidupkan kereta anda. Jika ia kekal pada selama 10 saat kemudian padam , ia mungkin bermaksud anda masih mempunyai lebih kurang 500 kilometer lagi sebelum servis seterusnya. Jika ia berkelip selama 10 saat , ia mungkin bermakna anda telah melebihi tempoh servis yang disyorkan.

Indikasi kerosakan elektrik

lampu indikasi - arenakereta 2
Tidak semestinya ini tanda bateri anda “kong” ya. Lampu amaran ini adalah berbeza dalam setiap kereta tetapi biasanya ia kelihatan seperti gambar bateri. Biasanya anda akan melihat ia menyala dan terpadam apabila anda menghidupkan enjin. Tetapi jika lampu indikasi ini menyala dan kekal menyala, ia bermakna sistem pengecasan elektrik anda tidak lagi berfungsi dengan betul. Fikirkan ia seperti bateri telefon bimbit. Jika telefon bimbit yang dipasang ke pengecas, anda boleh menggunakannya selama-lamanya, tetapi apabila anda mencabutnya dari pengecas , terdapat jumlah masa yang terhad sebelum bateri anda habis. Samalah bagi kereta anda, cuma ianya bersaiz lebih besar. Setiap kereta mempunyai alternator – pengecas – dan bateri 12V yang digunakan untuk membekalkan kuasa kepada sistem elektrik kereta. Jika alternator rosak atau tali pinggang pemandu tidak dipasang , maka ia tidak akan dapat menjalankan tugasnya. Semakin lama anda memandu , lebih banyak kereta anda akan menggunakan baki kuasa bateri dan akhirnya enjin akan mati. Apa lagi, periksa bateri dan altenatorlah.

Lampu indikasi Brek amaran 1

lampu indikasi - arenakereta 3
Kebanyakan kereta pada masa kini mempunyai lampu amaran brek di dashboard. Tujuannya adalah untuk memberi amaran kepada anda bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem brek kereta anda. Jika ia menyala , semak manual kereta untuk mengetahui maknanya. Brek lampu amaran tidak mempunyai makna yang standard, ia boleh dinyalakan untuk pelbagai tujuan. Sebagai contoh, cahaya yang sama boleh digunakan untuk menunjukkan bahawa brek tangan ditarik. Jika ia berlaku, anda mungkin boleh lagi memandu, tetapi anda patut sedar bau terbakar brek seketika selepas itu. Lampu indikasi ini juga boleh menunjukkan bahawa cecair di dalam silinder induk di paras rendah. Setiap pengeluar kereta mempunyai kegunaan yang berbeza dan standard untuk lampu ini. Baguslah, bukan?

Lampu Indikasi Brek amaran 2

lampu indikasi - arenakereta 4
Jika anda mempunyai sebuah kereta yang dilengkapi ABS, anda mempunyai indikasi brek kedua – iaitu lampu indikasi ABS. Jika ia menyala, pastikan ianya diperiksa secepat mungkin. Ini bermakna komputer ABS telah mengesahkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena di dalam sistem. Ia boleh menjadi sesuatu yang murah dan mudah seperti kotoran di salah satu sensor, atau sesuatu yang mahal kerana memerlukan keseluruhan unit ABS diganti.
Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa lampu indikasi ABS ini biasanya menyala apabila anda menghidupkan kereta dan kemudian akan terpadam beberapa saat kemudian. Jika ia berkelip, berkilau atau dalam apa-apa cara lain yang menarik perhatian anda kepada dirinya, maka silalah ambil perhatian.Berbanding dengan penyalaan lampu indikasi yang stabil, lampu indikasi  ABS yang berkelip biasanya menunjukkan sesuatu yang lebih serius. Dalam sesetengah kes ia boleh menjadi begitu buruk kerana “anda tidak mempunyai brek, langsung!”

Lampu Indikasi Penyejuk (Coolant)

lampu indikasi - arenakereta 5
Jika lampu ini menyala bermakna tahap penyejuk dalam radiator anda berada diparas rendah dan perlu ditambah. JANGAN BUKA CAP RADIATOR APABILA ENJIN  MASIH PANAS! Sistem penyejuk bertekanan dan ia boleh melepaskan tekanan dan semburan penyejuk mendidih kearah anda jika dibuka semasa enjin masih panas. Top-up sistem penyejuk ini sama ada dengan penyejuk pra-campuran yang dibeli dari kedai, atau dengan air suling. Jangan menggunakan air paip, kerana deposit garam galian dalamnya akan mendidih dalam sistem penyejukan dan kalsium akan mendak di sekitar bahagian dalam radiator yang menjadikannya kurang cekap (yang akhirnya akan menyebabkan ia gagal berfungsi). Adalah terbaik untuk menggunakan penyejuk pra-campuran. Campuran penyejuk bertindak sebagai bahan antibeku di musim sejuk serta kakisan perencat untuk menghentikan enjin berkarat dari luar dalam. Di Malaysia, kita tidak perlulah fikir sejauh itu, nasib baik..

Lampu Indikasi Amaran minyak

lampu indikasi - arenakereta 6
Biasanya cahaya ini akan datang jika tekanan minyak kereta anda terlalu rendah. Tekanan minyak rendah adalah serius dan jika anda terus memandu dengan lampu ini menyala, akhirnya enjin anda akan mati jua akhirnya. Tekanan minyak rendah boleh disebabkan oleh pam minyak yang rosak, penapis minyak tersumbat, atau tahap minyak yang rendah – sebagai contoh jika enjin anda membakar minyak. Walau apa pun, anda perlu periksanya dengan pantas. Tekanan minyak rendah adalah suatu penyakit kronik kepada sesebuah kereta, sama seperti manusia. Teringat kolestrol? Haih..
Semoga mendapat manfaat daripada nukilan ini, jumpa lagi di nukilan info yang lain.
By  on November 14, 2013

Dipetik dari arenakereta.com

Tuesday, 27 May 2014

Isu Perkauman Makan Diri Zahid



Saya pernah jelaskan pada 9hb MEI 2014 mengenai Isu Perkauman Menjelang Dua PRK. Nampaknya apa yang saya bayangkan memang menjadi kenyataan. Hari ini Gerakan dan MCA mahukan penjelasan dari Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kenyataan beliau yang mengatakan 'Cina Tidak Bersyukur'. Isu perkauman memang telah saya jangkakan akan dipergunakan oleh Barisan Nasional khususnya UMNO bagi menonjolkan parti itu adalah pembela bangsa Melayu dan Islam. Cara ini adalah untuk menarik perhatian orang melayu di kampung-kampung di Teluk Intan supaya mengundi BN.

Bukan sahaja Gerakan dan MCA yang dilihat kurang berpuas hati dengan Zahid Hamidi tetapi juga MIC yang memberi amaran BN akan kalah jika terus menghina kaum lain. Sementara itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak Zahid Hamidi memohon maaf kepada kaum cina kerana mengatakan cina yang mengundi pembangkang sebagai tidak bersyukur. 

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi tidak sepatutnya memainkan isu perkauman demi memastikan BN menang dalam PRK Teluk Intan. Beliau sepatutnya menjelaskan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa seperti GST, misteri MH370, kegagalan ESSCOM, skandal pinjaman Bank Rakyat yang didedahkan semalam, isu DNA khinzir dalam coklat CADBURY ataupun hutang luar negara yang membimbangkan rakyat. Kenapa beliau memilih untuk memainkan isu perkauman? Adakah beliau mahu rakyat melupakan masalah dalam negara? Adakah kerana beliau menteri yang menguasai Polis Di Raja Malaysia jadi beliau tidak perlu bimbang jika disiasat oleh pihak polis?

-wollahuaklam-
   cucitangga


Monday, 26 May 2014

Bank Rakyat Jadi Bank Kroni


Bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendedahkan khidmatnya tidak disambung gara-gara pinjaman bernilai RM40 juta yang dibuat oleh seorang individu yang rapat dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak. Sabbaruddin memberitahu The Malaysian Insider, individu tersebut menggunakan jaringan politiknya untuk melangsaikan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta tanpa faedah.

"Individu yang berhutang tersebut tidak sepatutnya berbincang dengan menteri, hutang beliau dengan Bank Rakyat jadi kenapa perlu jumpa menteri?".
Sabaruddin mendedahkan individu tersebut bertemu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek yang bertindak masuk campur tangan.
"Malah apabila menteri dapat tahu, dia berkata 'saya boleh pecat kamu semua'," kata Sabbaruddin merujuk kepada Hasan.
Sabbaruddin memberitahu Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada mulanya untuk menolak penyelesaian mudah yang diberikan bagi menyelesaikan baki pinjaman individu tersebut dengan tempoh bayaran selama 10 tahun melalui 120 keping cek "post dated".
"10 tahun bayar hutang tanpa faedah, maknanya bank rugi tanpa faedah," kata Sabaruddin menjelaskan mengenai penyelesaian mudah tersebut.
Menurut Sabbaruddin, selepas keputusan tersebut, Hasan tidak berpuas hati dan enggan menandatangani surat untuk menyambung khidmat beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat.
Sabbaruddin menunjukkan surat yang ditandatangani Datuk Seri Hasan Malek yang mendedahkan perbincangan pada Januari dan mengarahkan Bank Rakyat supaya mengikut telunjuknya – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 26 Mei, 2014.Sabbaruddin menunjukkan surat yang ditandatangani Datuk Seri Hasan Malek yang mendedahkan perbincangan pada Januari dan mengarahkan Bank Rakyat supaya mengikut telunjuknya – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 26 Mei, 2014."Sebenarnya penggal saya berakhir pada 8 April dan Bank Negara sudah bersetuju, tetapi menteri tidak mahu menandatangan," katanya.
Malah, Sabbaruddin juga mendedahkan Hasan mengadakan pertemuan dengan individu tersebut di luar pengetahuan Bank Rakyat pada Januari lalu.
"Selepas itu baru kita tahu sudah ada mesyuarat pada Januari lalu, cek sudah tersedia untuk bulan Januari, Februari dan Mac cuma tunggu didepositkan sahaja," kata Sabbaruddin.
The Malaysian Insider difahamkan individu yang berhutang tersebut merupakan pemilik kepada sebuah syarikat karpet di ibu kota yang pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini.
Sabbaruddin juga menunjukkan surat yang ditandatangani oleh Hasan kepada The Malaysian Insider yang secara jelas mendedahkan perbincangan pada Januari dan mengarahkan Bank Rakyat supaya mengikut telunjuknya.
Kemelut tersebut menjadi serius apabila Pengarah Urusan Mustafa Razak diarahkan membawa perkara tersebut ke Lembaga Pengarah Bank Rakyat untuk bersetuju dengan pembayaran hutang itu pada Mac lalu.
Bahkan, Sabbaruddin berkata Bank Rakyat sehingga kini tidak lagi mempunyai pengerusi selepas khidmatnya tidak disambung.
"Sampai hari ini, pengerusi baru Bank Rakyat belum ada pengganti," kata beliau.
Cubaan The Malaysian Insider menghubungi Hasan gagal kerana beliau sekarang ini berada di luar negara atas urusan kerja.
Individu berhutang itu pernah mencetuskan kontroversi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu.
Beliau juga pernah menyaman Putrajaya kerana melanggar perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama.
Kemudiannya, syarikat milik tabung kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd mengumumkan pada 2012 membeli 80% saham syarikat individu tersebut, Astacanggih Sdn Bhd dan sebidang tanah bernilai RM130 juta milik Awan Megah Sdn Bhd, syarikat ketua wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah. – 26 Mei, 2014.
Dipetik dari themalaysianinsider

Sunday, 25 May 2014

Halalkah Jika Ada Logo HALAL ?


Semalam kita dikejutkan dengan kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) yang menegaskan dua jenis coklat keluaran Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) disahkan mengandungi DNA babi @ khinzir. Pihak Cadbury di laman webnya mengumumkan akan mengambil tindakan segera dengan menarik semula kesemua produk yang terlibat dari pasaran.Cadbury juga bertegas bahawa produk mereka yang dikeluarkan di Malaysia adalah halal menerusi Sijil HALAL keluaran JAKIM.

Persoalan di sini, dari manakah datangnya dua produk CADBURY yang disahkan mengandungi DNA khinzir? Kenapa dua produk tersebut mempunyai tanda HALAL? Apakah ada jaminan dari JAKIM bahawa kes seperti ini tidak berulang ataupun tidak akan melibatkan syarikat makanan lain yang mempunyai Logo HALAL JAKIM?  Kenapa pihak JAKIM hanya bertindak setelah pihak lain tampil membuat penyelidikan? Kenapa JAKIM tak buat atau lambat atau lalai di dalam membuat penyelidikan? Bukankah penggantungan Sijil HALAL pihak CADBURY oleh JAKIM sudah terlambat? Berapa ramaikah umat Islam di Malaysia yang telah memakan dua produk coklat ini?

-wollahuaklam-
   cucitangga


KENYATAAN CADBURY 


Kami di Cadbury ingin memberi maklum balas berkenaan dengan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pagi ini.

Pihak kami telah dimaklumkan bahawa Cadbury Dairy Milk dengan kacang Hazel (nombor siri 200813M01H I2 yang tarikh luputnya adalah pada Nov 13, 2014) dan Cadbury Dairy Milk dengan Buah Badam (nombor siri 221013N01R I1 yang tarikh luputnya adalah pada Jan 15, 2015) telah diuji positif dengan kesan DNA khinzir. Pihak kami telah mengambil tindakan segera dengan menarik semula kesemua produk-produk yang terjejas daripada pasaran.


Produk-produk Cadbury yang lain adalah tidak terjejas dalam siri ujian yang telah dilakukan.

Pihak kami sedang menjalankan sisasatan rapi ke atas kesemua rangkaian bekalan kami bagi memastikan kualiti produk kami terus mematuhi kesemua piawaian yang telah ditetapkan. Pihak kami juga ingin menegaskan bahawa kesemua cokelat Cadbury Malaysia adalah dihasilkan di Malaysia dan dijamin Halal menerusi sijil JAKIM, dan ini termasuk sumber bekalan bahan-bahan mentah dan lokasi yang digunakan. Kami mengamalkan prosedur kawalan kualiti yang ketat dan memastikan produk kami mencapai standard tertinggi dalam keselamatan dan kualiti produk.

Kami ingin mengucapkan terima kasih ke atas sokongan yang diberikan kepada Cadbury.


KENYATAAN JAKIM




Saturday, 24 May 2014

Pendedahan Pembohongan Kertas Putih Memali

Tragedi Memali berlaku pada 19 NOVEMBER 1985. Rakyat pada waktu itu cuma mendapat maklumat daripada RTM (Radio dan Televisyen Malaysia) dan melalui akhbar pro BN antaranya seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Utusan Melayu (tulisan jawi) dan The News Straits Times (Inggeris). TV3 waktu itu baru berusia setahun jagong dan hanya boleh ditonton di kawasan sekitar Lembah Klang sahaja. Semua maklumat yang disalurkan kepada rakyat telah diubahsuai mengikut skrip pemerintah. Laporan yang baik semuanya berpihak kepada Kerajaan BN manakala yang buruk semuanya berpihak kepada pembangkang.


Sekarang rakyat Malaysia tidak dapat diperbodohkan lagi oleh Kerajaan BN. Media di alam maya@cyber akan menyiarkan sesuatu cerita dengan pantas dan tepat. Hasil pembacaan di internet melalui media seperti harakahdaily, keadilandaily, malaysiakini mahupun themalaysianinsider dapat memberikan maklmat yang tepat dan seimbang. Kini Tragedi Memali diceritakan semula oleh mangsa-mangsa yang melalui sendiri sejarah hitam ini. Pada pengunjung blog Cuci Tangga , jika anda tidak tahu apa itu peristiwa berdarah Memali, sila baca disini Kronologi Tragedi Memali  yang saya terbitkan pada 21hb APRIL 2014.


-wollahuaklam-

   cucitangga



Memali: Saksi hidup sanggah pembohongan kertas putih

NAZRI ABDULLAH | .

BALING: Saksi-saksi hidup dalam peristiwa berdarah Memali 1985 mendakwa, kebanyakan fakta yang dimuatkan dalam kertas putih yang dibentang di parlimen berkait peristiwa itu adalah tidak benar.

Sanggahan itu dibuat melalui satu forum khas bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia' di Kampung Memali petang tadi.

Forum itu diadakan sempena program Himpunan Keadilan Untukmu Memali anjuran PAS Pusat yang berlangsung hari ini.

Sembilan saksi ditampilkan dalam forum ini iaitu Bekas Senator Datuk Mohammad Yusof Husin, Azmi Salim, Zaman Mahmud, Zakaria Abdul Rahman, Ramli Che Mit, Osman Salleh, Radziah Rozali, Aisyah Ahmad dan Tuan Guru Abdul Wahab Hassan.

Kesemua mereka adalah antara mangsa yang ditahan selepas berlakunya peristiwa hitam itu, serta balu-balu kepada mereka yang terkorban dalam insiden itu.



Mohammad Yusof, yang merupakan orang kanan kepada Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya, berkata fakta dalam kertas putih sengaja dibuat bagi menjustifikasikan tindakan pihak berkuasa yang telah menyebabkan 14 orang terkorban dalam insiden itu.

"Seramai 161 saksi diminta membuat kenyataan menggambarkan bahawa Ustaz Ibrahim Libya adalah seorang pengganas, mengajar ajaran sesat dan ingin menjatuhkan kerajaan secara revolusi bersenjata," katanya yang namanya disebut sebanyak 16 kali dalam kertas putih.

Beliau yang juga lebih mesra dengan panggilan Pak Ucop, turut dituduh sebagai ketua mujahidin, dan timbalan ketua gerakan revolusi dalam kertas putih itu.

Menurut Pak Ucop, punca sebenar peristiwa Memali berlaku adalah kerana ketegasan Ustaz Ibrahim Libya yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai akta zalim dan bercanggah dengan perinsip keadilan Islam.


"Dia pernah kata, dia tak redha ditanggkap di bawah ISA. Dia sanggup serah jasad tanpa nyawa," katanya lagi.

Mengulas dakwaan dalam kertas putih, kononnya rumah Ustaz Ibrahim Libya menjadi tempat menyimpan senjata untuk tujuan revolusi, beberapa saksi lain turut menyanggah.

Radziah berkata, beliau mendapat maklumat bahawa pihak polis bertindak mengumpul parang dari seluruh rumah di kampung itu selepas kejadian itu berlaku, dan bukan parang yang terdapat di rumah Ustaz Ibrahim.

Dakwaan bahawa terdapat lebih 100 orang di rumah Ustaz Ibrahim ketika hari kejadian dengan bersenjata parang juga turut disanggah.

"Orang kampung, bila dengar lembu kena langgar, penuh orang keluar tengok.

"Ini pula orang nak ambik tok guru kita, tentu la kita datang nak tengok, bagaimana mereka nak ambik.

"Mereka ini ada kerja menebas, jadi mereka datang dari tempat kerja sambil pegang parang" katanya.

Pak Ucop kemudiannya menjelaskan, ketika kejadian tak lebih dari 40 orang berada di kawasan rumah Ustaz Ibrahim dan bukan seperti dilaporkan di dalam kertas putih itu.



Dalam kertas putih tersebut, Ustaz Ibrahim Libya juga didakwa memakai azimat dan mengamalkan ajaran khurafat kononya bagi tujuan ilmu kebal dan pelindung diri.

"Kalau pakai azimat, tak mati la. Tapi semua yang kena tembak itu mati.

"Maknanya tuduhan itu tak betul," kata salah seorang dari mereka.

Forum yang berlangsung di Madrasah Islahiah Memali petang tadi itu turut dihadiri lebih 1000 hadirin.

Malam ini pula akan berlangsung ceramah perdana oleh pemimpin PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dipetik dari harakahdaily

Friday, 23 May 2014

Hudud Satu Kewajipan - Nik Aziz



Kisah UMNO menolak Hukum Hudud bukan cerita baru. Begitu juga dengan DAP. Menjelang PRK Teluk Intan, penolakan hudud oleh DAP menjadi bahan di media perdana. Saya juga sudah beberapa kali menjelaskan bahawa orang bukan Islam menolak hudud kerana tidak faham apa itu hudud tetapi UMNO yang mendakwa parti Islam juga menolak hudud. Kenapa? 

Calon DAP yang bertanding di PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud juga tidak menyokong hudud. Ini mudah difahami kerana 'bos'nya bukan Islam. Ibu kepada calon tersebut juga merupakan  bekas orang kuat UMNO di Perak. Jadi sudah pasti beliau dididik dengan didikan sekular hasil ajaran UMNO.

Semoga penjelasan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat ini dapat membuka mata umat Islam di Malaysia mengenai pendirian dan ketegasan PAS mengenai hudud. Bilakah UMNO akan menyokong perlaksanaan hudud di Malaysia?

-wollahuakalam-
    cucitangga


PRK Teluk Intan : Pandangan Saya

1. Pagi ini saya sekali lagi berhalangan untuk menyampaikan kuliah di Medan Ilmu. Hasrat saya untuk mengulas tentang PRK Teluk Intan di sana, namun kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan saya terpaksa meminta ia digantikan dengan kuliah yang lain.

2. Berhubung pilihan raya kecil Teluk Intan, ramai yang bertanya pendirian saya berhubung isu hudud setelah calon DAP dikatakan membuat kenyataan menolak hudud. Saya tegaskan bahawa hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa. Pas tidak pernah lari dari kewajipan ini bahkan konsisten mempertahankannya semenjak dari hari ia ditubuhkan lagi.

3. Di Teluk Intan, kerusi tersebut ialah kerusi DAP yang merupakan rakan tahaluf siyasi Pas. Bersama-sama DAP dan juga PKR, Pas telah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dan sama-sama memperjuangkan keadilan dan membanteras rasuah. Sehingga hari ini DAP belum pernah menzalimi Pas sebagaimana yang dilakukan Umno sebelum ini.

4. Justeru, apabila calon DAP dikatakan menolak hudud, ia tidak mengejutkan kerana itulah perbezaan Pas dengan DAP. Dalam hal ini, Pas sewajibnya berusaha lebih gigih memberikan kefahaman kepada DAP agar kebaikan dan keindahan hukum Islam ini dapat difahami dan diterima. Sebab itu, saya sentiasa menaruh harapan agar satu hari nanti DAP menerima hasrat Pas ini hasil dakwah berterusan yang tidak henti-henti.

5. Usia Pakatan Rakyat baru sahaja lima tahun. Dalam masa lima tahun, adalah satu perkara yang logik jika DAP masih belum memahami hasrat Pas dalam isu ini. Pihak yang patut malu ialah Umno yang telah setengah abad bersahabat dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN, namun hingga sekarang masih gagal memberikan kefahaman tentang Islam. Bahkan ada ahli Parlimen Umno sendiri secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan untuk mengundi menolak hudud di Parlimen nanti.

6. Saya kira Umno perlu menilik wajah di cermin sebelum mentohmah Pas kononnya menggadaikan prinsip. Jerawat, kurap dan panau di badan sendiri masih bertompok merata tiba-tiba jari lurus menuding kononnya orang lain itulah pesakit kusta! Sedarkah Umno bahawa parti Gerakan itulah yang menjanjikan rantai manusia bagi menghalang hudud dibentang?

7. Saya ingatkan sekali lagi, elakkanlah menjadikan isu hudud sebagai bahan kempen di Teluk Intan. Dalam pertarungan DAP dan Gerakan ini, tiada untungnya isu ini ditimbulkan. Pada saya, harapan saya tetap ingin melihat PR menang di Teluk Intan dan hudud akhirnya berjaya dilaksanakan!


Salam hormat.


DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.

23 Rejab 1435H

Dipetik dari sinarharian

Thursday, 22 May 2014

'Black Out" 1992 Angkara Dr Mahathir ?



Isnin, 19hb MEI 2014 yang lalu saya ada menyiarkan artikel yang dipetik dari harakahdaily.net  yang bertajuk IPP Dapat Subsidi RM20 Bilion ?. Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Senator Syed Husin Ali mendakwa TNB ‘dipaksa’ membeli bekalan elektrik daripada syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) walaupun harga yang ditawarkan adalah tinggi dan membebankan pengguna. 
Satu lagi pendedahan hasil penulisan dari bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Tan Sri Ani Arope yang mendakwa Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang dikuasai Dr Mahathir Mohamad ketika itu telah melakukan rancangan "Black Out' di seluruh negara pada tahun 1992. Pada 1996 Tan Sri Ani Arope telah meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan perjanjian berat sebelah antara TNB dan IPP. Ikuti penjelasan mengenai perkara ini yang ditulis oleh beliau sendiri dalam bukunya yang bertajuk 'Memoir Tan Sri Ani Arope'. Persolannya, kenapa 'Black Out' 1992 ini dilakukan? Apakah keuntungan yang diperolehi oleh EPU, IPP, TNB serta pengguna elektrik kesan dari kejadian ini?  Sejauh manakah benarnya dakwaan ini?
-wollahuaklam-
  cucitangga



"Saya terpaksa letak jawatan"-Tan Sri Ani Arope
KUALA LUMPUR 22 MEI: Bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Tan Sri Ani Arope  mendedahkan perancangan ‘Black Out’ seluruh negara pada tahun 1992 yang bertujuan mewujudkan Penjana Tenaga Bebas (IPP) di negara ini.
Perkara itu dinyatakan dalam buku beliau ‘Memoir Tan Sri Ani Arope’ setebal 143 surat yang menceritakan permulaan IPP, di mana Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang dikuasai Dr Mahathir Mohamad ketika itu memaksa TNB menyerahkan tanah di Paka, Terengganu dan Pasir Gudang, Johor kepada pihak ketiga bagi pembinaan loji janakuasa.
“TNB mempunyai rancangan untuk menghasilkan lebih banyak tenaga dengan membina loji di Pasir Gudang dan Paka. Pembiayaannya tidak ada masalah dan kredit kami adalah sangat tinggi. Kami mempunyai tanah dan bersedia untuk membina loji.
“Tetapi kami diberitahu oleh EPU bahawa ia mempunyai rancangan sendiri. Kami diberi amaran oleh EPU bahawa jika loji itu, yang mengambil masa dua bulan untuk disiapkan tidak dibina, Malaysia akan mengalami satu lagi ‘black out’,” katanya dalam temuramah oleh Starbiz baru-baru ini mengenai apa yang berlaku pada tahun 1992.
Katanya, TNB pada masa itu memiliki 250 jurutera dan adalah mustahil mengatakan kejadian black out  disebabkan perancangan lemah syarikat tanaga berkenaan.
Menurut Ani, selepas peristiwa itu, TNB menghasilkan elektrik pada 8 sen seunit (kwh) dan membekalkannya pada 17 sen seunit. Namun, IPP menghasilkan elektrik pada 23 sen seunit yang menyebabkan TNB perlu mengenakan caj dengan kadar tidak kurang daripada 30 sen seunit.
Katanya, tiada rundingan dilakukan dan perjanjian itu menyebabkan 20 juta pengguna pada tahun-tahun tersebut tiada pilihan dan terpaksa membayar kenaikan tarif elektrik.
“Selepas itu, pasukan saya kecewa. EPU hanya memberikan kami terma dan meminta kami bersetuju. Saya kata tidak mungkin,” katanya yang  terpaksa meletak jawatan sejurus selepas kejadian itu. Beliau berpendapat perjanjian itu adalah salah dari segi moral dan berat sebelah.
Berdasarkan laporan tahunan Petronas pada 2008, IPP mendapat subsidi gas berjumlah RM8.1 billion, manakala TNB pula memperoleh sebanyak RM5.7 billion.
Subsidi itu menyebabkan kontroversi kerana lebih 40% daripada lebihan kapasiti yang dijana setiap tahun adalah sia-sia kerana Malaysia tidak memiliki teknologi menyimpan bekalan.
“Dengan fasal ambil-atau-bayar dan dengan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, seseorang hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan seseorang dan dibayar 80 peratus daripada kapasiti yang dipersetujui. Syabas EPU – Unit merampas Ekonomi,” tambah Ani Arope dalam statusnya di Facebook.
PPA menyebabkan saham TNB jatuh menjunam daripada 20 sen pada tahun 1993 berkurangan kepada 10 sen pada tahun 1994. TNB terpaksa menaikkan tarif elektrik untuk mengekalkan keuntungan syarikat.
Syarikat pengeluar tenaga yang telah mendapat kadar keuntungan sehingga berbillion ringgit adalah Genting Sanyen Power Sdn. Bhd, Powertek Berhad, Segari Energy Ventures Sdn. Bhd SEV 2nd, YTL Power Generation Sdn. Bhd, ARL Tenaga Sdn. Bhd, TNB Janamanjung Sdn. Bhd, Teknologi Tenaga Perlis Konsortium Sdn. Bhd, Prai Power Sdn. Bhd, GB3 Sdn. Bhd dan Tanjung Bin Sdn. Bhd.
Dipetik dari keadilandaily.com