Tuesday, 13 May 2014

Krisis DUN Perak vs DUN Terengganu

Kalau dilihatkan perjalanan Kerajaaan PR di Perak yang berakhir setelah setahun ditubuhkan, kini Kerajaan BN Terengganu pula yang akan berakhir setelah setahun ditubuhkan. Kedudukan DUN Perak setelah selesai pilihanraya umum 2008 ialah Pakatan Rakyat 31 kerusi dan Barisan Nasional 28 kerusi. Setelah hampir setahun kerajaan PR diketuai oleh Menteri Besar Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memerintah, dua orang Adun dari Parti Keadilan Rakyat dan seorang Adun dari DAP berpaling tadah. Mereka bertiga mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat dan menjadi calon bebas. Ketiga-tiga mereka kemudiannya menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional. Tidak sampai seminggu setelah tiga Adun PR 'melompat' maka BN telah mengambil-alih kerajaan Perak dengan perlantikan Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin
Hari ini krisis DUN Terengganu pula yang menjadi perhatian. Ceritanya sama seperti DUN Perak. Kedudukan DUN Terengganu setelah selesai pilihanraya umum 2013 ialah Pakatan Rakyat 15 kerusi dan Barisan Nasional 17 kerusi. Setakat jam 10 pagi 13hb MEI 2014 pula, Pakatan Rakyat 15 kerusi, Barisan Nasional 14 kerusi dan Bebas 3 kerusi. Semalam dan hari ini, tiga Adun dari Barisan Nasional mengumumkan keluar dari Barisan Nasional dan menjadi calon bebas. Mereka ialah Adun Kijal yang juga bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud.
Jika dilihat dari senario yang berlaku di Negeri Perak, maka Pakatan Rakyat secara automatik akan menubuhkan kerajaan di Terengganu. Akan tetapi, saya yakin yang DUN Terengganu akan dibubarkan oleh MB yang baru sehari dilantik iaitu Dato' Ahmad Razif bin Abdul Rahman. Ini kerana UMNO dan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali memberikan laluan percuma kepada PR untuk menubuhkan kerajaan. Mereka membutakan mata dan tidak akan mengambil contoh yang berlaku di DUN Perak. Kerana apa? Kerana mereka gila kuasa !
-wollahuaklam-
  cucitangga

Berikut adalah kronologi krisis politik di Perak yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 :
17 Mac 2008:
- Mohammad Nizar, ADUN Pasir Panjang, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.

1 Feb 2009:- Speaker DUN Perak, V. Sivakumar berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu. Kedua-dua ADUN PKR nafi meletakkan jawatan.

3 Feb 2009:- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan DUN Behrang serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itu.

4 Feb 2009:

- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika itu mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong BN.

- BN Perak dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri manakala tiga lagi anggota dewan undangan negeri ialah anggota Bebas.
  
5 Feb 2009: 
- Kenyataan media dari pejabat Sultan Perak menyatakan bahawa Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan menitahkan Mohammad Nizar serta Anggota Majlis Mesyuarat Negeri meletakkan jawatan dan sekiranya enggan maka jawatan mereka akan dianggap kosong.

6 Feb 2009:

- Dr Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Mohammad Nizar yang mula memegang jawatan berkenaan pada 17 Mac 2008.

- BN secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak.

13 Feb 2009: 

- Mohammad Nizar mengambil tindakan undang-undang memohon mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah selain memohon injunksi melarang Dr Zambry daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

6 Mac 2009:
- Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu perlembagaan dalam saman yang difailkan oleh Mohammad Nizar bagi mencabar kesahihan pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

23 Mac 2009:

- Mahkamah Persekutuan memutuskan agar kes Mohammad Nizar lawan Dr Zambry dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.

3 April 2009:

- Mohammad Nizar diberi "lampu hijau" oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar kesahihan pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim bahawa permohonan yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada Februari lepas adalah tidak remeh, tidak menyusahkan dan mempunyai kes prima facie untuk dihujah di mahkamah.

11 Mei 2009: 
- Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati beliau tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

12 Mei 2009:
- Dr Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan lawannya, Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah berikutan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali yang membenarkan
permohonan Dr Zambry bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.

22 Mei 2009:

- Keputusan Mahkamah Tinggi dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pelantikan Dr Zambry adalah secara sah dan mengikut Perlembagaan. 
Dipetik dari malaysiakini

No comments:

Post a Comment